Bakti Siswa Terapi Berkuda Untuk Orang Kurang Upaya

Pada 19 April 2014, Kelab Ekuin UMT telah mengadakan Program Bakti Siswa Terapi Berkuda Untuk Orang Kurang Upaya bertempat di Terengganu Equestrian Resort . Program ini mendapat kerjasama Kelab Pengurusan Kaunseling UMT (PEKA) dan Persatuan Pembangunan Orang Kurang Upaya Anggota Terengganu (POKUAT). Objektif program ini adalah untuk memberi peluang dan membantu orang kurang upaya menjalankan aktiviti terapi berkuda sebagai proses pemulihan kecacatan yang mereka alami. Terapi berkuda merupakan sukan ataupun latihan fisioterapi yang bagus untuk golongan orang kurang upaya. Ini kerana setiap manusia perlu membuat pergerakan badan bagi membetulkan organ dalaman yang bermasalah. Keistimewaan kuda yang mempunyai lengkok pada belakang badannya itu berkesan dalam membantu memperbaiki pertumbuhan otot serta saraf secara semulajadi. Kuda merupakan haiwan cerdik yang tahu siapa penunggangnya. Jadi secara tidak langsung,  ia memudahkan lagi proses terapi dijalankan memandangkan kuda memiliki daya sensitiviti yang lebih terhadap golongan tersebut. Bagi setiap 10 minit terapi kira-kira 1000 otot penunggang dapat digerakkan. Penunggang disuruh membelai kuda tersebut sebelum terapi bermula bagi mewujudkan hubungan unik antara kuda dang penunggang yang menimbulkan perasaan percaya dan memastikan kuda tersebut kenal akan orang yang menunggangnya sekaligus mengelakkan kuda berasa terancam.

Seramai 17 ahli Kelab Ekuin UMT dan  11 orang kurang upaya dari sekitar Kuala Terengganu yang berdaftar dengan POKUAT menyertai program ini dan dibantu oleh pengajar RDA Terengganu Equestrian Resort. Program ini bermula pada pukul 9 pagi dengan taklimat terapi berkuda untuk orang kurang upaya dan keselamatan oleh pengajar RDA TER iaitu En Halim dan En Rizwan supaya proses terapi berkuda berjalan dengan lancar. Selepas selesai taklimat terapi berkuda, orang kurang upaya yang hadir menjalankan aktiviti berkuda dengan dibantu oleh ahli Kelab Ekuin UMT. Setiap orang kurang upaya dibantu oleh tiga ahli kelab ekuin UMT secara bergilir-gilir melakukan terapi berkuda mengelilingi arena TER dengan pengawasan pengajar RDA Terengganu Equestrian Resort.

Semasa sesi terapi berkuda dijalankan, orang kurang upaya akan diiringi sekurang-kurangnya empat orang pembantu yang yang mempunyai peranan masing-masing. Jurulatih akan berada ditengah-tengah kandang dan berperanan untuk memberi arahan sepanjang proses terapi manakala ketua yang berada dibahagian kepala kuda bertugas mengawal pergerakan kuda menggunakan tali. Sementara itu, dua orang pembantu yang berada di kedudukan kiri dan kanan kuda pula ditugaskan menjaga keseimbangan orang kurang upaya selain memastikan mereka mereka mengikut arahan.

Terapi berkuda untuk  orang kurang upaya selesai kira-kira pada pukul 11 pagi dan semua peserta berehat dan menikmati makan pagi yang telah disediakan. Aktiviti seterusnya ialah horse riding yang dilakukan oleh setiap ahli kelab Ekuin UMT secara bergilir-gilir selepas semua peserta selesai makan pagi kira-kira pukul 11.30 pagi. Dalam terapi berkuda, aspek keselamatan dititikberatkan. Setiap penunggang wajib memakai topi keselamatan yang disediakan. Ahli Kelab Ekuin UMT berpeluang mempelajari teknik menunggang kuda yang betul dan aktiviti sememangnya bermanfaat untuk penunggang dan orang kurang upaya. Program ini tamat kira-kira pukul 1 tengah hari selepas penyampaian cenderahati kepada wakil Terengganu Equestrian Resort (TER) dan Persatuan Orang Kurang Upaya Anggota Terengganu (POKUAT).

Peserta orang kurang upaya dibantu untuk menjalani aktiviti terapi berkuda

Aktiviti horse riding 

Sesi Kaunseling dan temuramah peserta terapi berkuda

Pengarah pogram Terapi berkuda untuk orang kurang upaya menyampaikan cenderahati kepada wakil Terengganu Equestrian Resort

Presiden Kelab Ekuin UMT meyampaikan cenderahati kepada Presiden POKUAT, En Fakhruddin bin Zakaria.